SETIAUSAHA Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam akan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini bermula esok sehingga 23 November ini.
Menurut Wisma Putra, ia merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lalu.
Katanya, To Lam akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi diikuti dengan mesyuarat dua hala.
“Perbincangan akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, teknologi digital serta komunikasi maklumat.
“Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam memperkukuh promosi perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wisma Putra menambah, MoU juga melibatkan kerjasama antara Petronas dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Jelasnya, To Lam turut dijadual bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Bangunan Parlimen.
“Kali terakhir Malaysia menerima lawatan daripada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN.
“Lawatan rasmi ini akan menambah nilai kepada hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam, secara dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik, serta dalam ASEAN,” katanya.
Pada tahun lalu, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam ASEAN.
Nilai dagangan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam direkodkan sebanyak RM80 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.
Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam dengan pelaburan berjumlah AS$13.1 bilion. – WILAYAHKU