PENERIMA Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), Susan Lankester mengaku tidak fasih bercakap dalam bahasa Melayu ketika ditawarkan berlakon dalam filem pertama lakonannya, Mekanik.
Namun, keyakinan serta kepercayaan yang diberikan pengarah hebat, Othman Hafsham membuatkan dirinya melangkah dalam dunia lakonan.
“Filem Mekanik arahannya pada 1983 adalah filem pertama saya. Waktu itu Othman melihat sesuatu dalam diri saya menerusi satu sesi uji bakat.
“Waktu itu saya tak pernah terfikir nak jadi pelakon. Tak sangka selepas tiga minggu, saya dihubungi dan dapat watak dalam sebuah filem Melayu sedangkan ketika itu nak cakap Melayu pun tak pandai.
“Namun, Othman memberi keyakinan dan bersedia untuk memberikan tunjuk ajar sehingga saya mampu melontarkan dialog bahasa Melayu dengan baik. Jadi, dialah mentor saya dalam bidang ini,” katanya.
Menurut Susan, Othman juga adalah individu yang terus mempercayai bakat seninya apabila beliau turut ditawarkan membintangi beberapa drama lain arahannya iaitu sitkom Kampung Seri Wangi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2 + 1.
Dalam pada itu, Susan berkata, kejayaannya pada FFM33 membuktikan setiap bangsa di Malaysia berhak untuk meraih pengiktirafan.
“Melihat kejayaan pada FFM33 kita lihat ada campuran pelbagai bangsa yang menang sekali gus penganjuran kali ini disifatkan cukup hebat,” katanya.
Susan dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik di FFM33 menerusi lakonannya dalam filem Raintown arahan Tunku Mona Riza. – WILAYAHKU