Advertorial

Ketegangan perdagangan AS-China: Malaysia lipat ganda usaha pelaburan asing

- Diterbit 11 Mac 2025 12:15 PM MYT

KERAJAAN akan melipatgandakan usaha untuk memastikan Malaysia terus diiktiraf sebagai destinasi pelaburan serta rakan dagang yang boleh dipercayai kepada pelabur asing dari serata dunia.

Demikian ditegaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merujuk kepada dasar Presiden Donald Trump termasuk peralihan perdagangan global yang berlaku akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.

Jelasnya, walaupun pada ketika ini impak dasar-dasar baharu Trump masih belum terkesan, namun kerajaan akan terus memantau perkembangan tersebut serta merancang strategi-strategi yang bersesuaian bagi menanggani risiko terhadap ekonomi negara.

“Dasar Trump yang mengutamakan kepentingan ekonomi AS serta memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi domestik, berkemungkinan memberi cabaran dan peluang kepada Malaysia. Perubahan dasar perdagangan yang dilaksanakan akan memberi impak ke atas Malaysia memandangkan AS merupakan antara rakan dagang Malaysia yang utama.

“Dari segi jangka pendek, Malaysia mungkin boleh mendapat manfaat daripada kenaikan tambahan tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas China.

“Ini kerana pengeluar dan pengeksport Malaysia boleh mengambil peluang untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta menggandakan jumlah eksport ke AS sebagai alternatif kepada barangan China yang dijangka mengalami kenaikan harga akibat dikenakan tarif tambahan tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

MITI menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai sejauh mana dasar AS mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari China bermula 1 Februari 2025 berpotensi menarik syarikat multinasional memindahkan operasi ke Malaysia.

MITI menambah, walau bagaimanapun adalah terlalu awal menyatakan bahawa kenaikan tarif 10 peratus berpotensi menarik syarikat multinasional untuk memindahkan operasi dari China ke Malaysia.

Hal demikian kerana katanya, urusan pemindahan operasi sesebuah syarikat tidak boleh dilaksanakan dalam satu jangka masa yang pendek tetapi perlu mengambil kira pelbagai faktor yang bersifat jangka panjang.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu bersedia untuk menanggani implikasi negatif secara tidak langsung terhadap pengenaan tarif yang tinggi, terutamanya dalam jangka masa panjang.

“Berkemungkinan besar produk China tidak dapat menembusi pasaran AS disebabkan harga yang tinggi. Maka China akan meneroka pasaran-pasaran baru atau melimpahkan lebih banyak produk di pasaran-pasaran sedia ada yang lain.

“Perkara ini akan menjejaskan pasaran eksport Malaysia di negara-negara ketiga serta memberi persaingan kepada pengeluar-pengeluar domestik, memandangkan kebanyakan produk yang dihasilkan oleh China adalah amat kompetitif dari segi harga disebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah,” jelasnya.

Katanya, dari sudut peluang, Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan global yang berlaku akibat ketegangan perdagangan antara AS dengan China.

“Syarikat-syarikat dari serata dunia akan mencari lokasi pengeluaran dan sumber produk baharu bagi mengelakkan tarif yang tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas