Berita

Ketegangan Asia Barat: Wisma Putra bawa pulang rakyat Malaysia dari Lubnan

- Diterbit 4 Oktober 2024 10:49 AM MYT

EKORAN ketegangan yang kian memuncak di Asia Barat, Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut menjalankan proses evakuasi rakyat negara ini dari Lubnan.

Untuk itu Wisma Putra mengesahkan seramai empat orang rakyat Malaysia telah dibawa keluar dari negara itu dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

“Seorang lagi rakyat Malaysia dijadualkan tiba pada petang ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah memudah cara pelepasan mereka dari Beirut melalui pesawat komersial,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wisma Putra menambah, usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan baki rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang masih berada di Lubnan, berjumlah 16 orang, akan berjaya dievakuasi dengan selamat.

“Kementerian ini komited sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Lubnan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan terus memantau keadaan dan menyediakan bantuan yang diperlukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas