ROZITA Che Wan, 52, atau Che Ta dipuji dan menjadi inspirasi ramai warganet apabila tenang berhadapan pelbagai dugaan sejak bergelar anak seni.
Misalnya baru-baru ini, Che Ta tidak mudah melatah atau ‘meroyan’ dengan tidak menutup ruangan komen dalam akaun media sosial miliknya, susulan kontroversi hutang Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Malah, menerusi Instagramnya, Che Ta lebih tabah dan menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Pencipta.
“Dalam hidup ini, kita tidak berhenti untuk diuji dan apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apapun yang berlaku, kita luah dan kembali kepada Allah. Minta segalanya daripada Dia.
“Dalam masa yang sama, kita hidup dalam demokrasi. Setiap orang berhak bersuara. Walaupun mereka nak bercakap fasal saya sedangkan tak tahu sisi saya yang lain, terpulang kepada mereka.
“Bagi saya, itu hak mereka untuk bercakap fasal saya. Kalau kita tutup komen, orang nampak kita bersalah sedangkan saya tidak buat salah dengan sesiapa.
“Cuma mungkin apabila mereka tengok ada kebenaran, baru mereka akan sedar dan ingat apa yang pernah dikatakan sebelum ini. Saya sendiri pun tak nak menegakkan benang yang basah,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta akui setiap apa yang dilalui perlu besertakan kesabaran dan jalani hidup dengan tenang. Katanya, dia tidak mampu menghalang cakap-cakap orang.
“Saya rasa kalau tak tahu kebenarannya, memang mereka akan terus bercakap. Samalah macam kita pun apabila mengetahui sesuatu isu yang belum sahih.
“Saya okay saja orang nak cakap apapun. Malah netizen-netizen inilah yang sekarang datang memberi semangat. Saya yakin selagi orang tak tahu kebenarannya, mereka akan terus bercakap.
“Cuma tiada satu pun hantaran di media sosial saya tutup ruangan komen, sebaliknya saya teruskan kehidupan seperti biasa dan lakukan aktiviti seharian saya dengan bisnes dan keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, Che Ta tidak tahu sekiranya dia mempunyai musuh sehingga mungkin ada pihak cuba menjatuhkannya dengan isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
“Saya tak tahu. Kalau nak kata saya kenal orang kenamaan, saya tidak ada. Saya tak tahu ada musuh ada tidak. Tapi kawan sendiri pun mungkin boleh jadi musuh kita? Cuma saya tak tahu,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bagaimanapun aktres itu dalam satu pertemuan memaklumkan sudah bebas hutang dengan agensi berkenaan. – WILAYAHKU