KISAH bekas penyerang prolifik kebangsaan, Khalid Jamlus membuat lelongan kasut emas miliknya mendapat perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Fayhsal yang mengetahui berita tersebut setelah membaca kisah kesusahan Khalid di portal wilayahku.com.my menjemput bekas penyerang skuad kebangsaan Malaysia itu ke pejabatnya.

Khalid berkongsi perbualannya dengan Fayshal di instagram miliknya.
“Kalau lapang jemput ke pejabat saya minggu depan. Saya terbaca berkenaan hal ini di wilayahku.com.my,” ujar Fayhsal kepada Khalid menerusi aplikasi whatsap.
Khalid juga berharap jemputan daripada Timbalan Menteri itu memberi khabar gembira buatnya nanti.
“Insya Allah, mungkin ada sinar,” tulis Khalid di instagramnya.

Baru-baru ini tular di laman sosial apabila Khalid Jamlus melelong kasut emas yang dimenanginya pada musim 2002 dengan harga RM10,500 melalui bidaan di LIVE Facebook (-Khalid Jamlus-)

Selain kasut kemas, barangan lain yang turut dilelong semasa sesi lintas langsung Facebook tersebut adalah poster, jersi serta medal yang pernah dimenangi sepanjang karier beliau sebagai pemain bola sepak.
Menurut Khalid Jamlus dalam sesi bidaan tersebut, beliau sudah 3 tahun tidak mempunyai kerja dan mungkin faktor kewangan menjadi punca utama lelongan koleksi peribadinya dilakukan.
Wilayahku doakan semoga segala urusan Khalid Jamlus dipermudahkan. – WILAYAHKU