Berita

KESUMA tingkat had umur kelayakan SKSSR

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 Mac 2024 5:00 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) akan meningkatkan had umur kelayakan wanita bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dari umur 55 tahun kepada 60 tahun bagi membolehkan lebih ramai layak mencarum.

Menterinya Steven Sim berkata perkara itu memerlukan pindaan akta dan sekiranya diluluskan akan memanfaatkan 720,600 wanita.

“KESUMA menyasarkan 500,000 wanita mencarum dalam SKSSR pada tahun ini, selepas 205,000 wanita berjaya mendaftar sebagai pencarum pada 2023,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita KESUMA dan Karnival Kerjaya Wanita di sini hari ini.

SKSSR  yang diperkenalkan pada 1 Dis 2022  meliputi tiga perlindungan utama iaitu bencana domestik, keilatan dan kematian dengan premium perlindungan serendah RM10 sebulan atau RM120 setahun.

Selain itu, Steven berkata 12,500 wanita yang bekerja di bawah KESUMA termasuk sembilan jabatan dan lima agensi berkaitan akan mendapat caruman SKSSR secara percuma.

“Jumlah ini turut melibatkan kakitangan lelaki yang mencarum bagi isteri mereka sebagai manifestasi kasih sayang serta penghargaan,” katanya.

Terdahulu pada majlis tersebut,  KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKNM) bagi memberi galakkan kepada caruman SKSSR selain membantu banyak lagi wanita.

Sebanyak 10 syarikat swasta mengambil bahagian dalam inisiatif menaja caruman SKSSR yang berjumlah RM558,360 dan akan memanfaatkan 4,864 wanita dari golongan B40 eKasih. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas