KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan jabatan dan agensinya bagi memastikan kebajikan pekerja yang terjejas susulan kebakaran paip gas di Putra Heights terjaga serta langkah keselamatan dipatuhi.
Dalam satu kenyataan, KESUMA menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang terkesan dengan kejadian itu dan komited untuk memberikan sokongan penuh kepada mereka.
“KESUMA telah bekerjasama dengan badan kerajaan lain untuk memastikan keselamatan pekerja terjamin serta mempercepatkan pemulihan mereka,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] yang mewajibkan majikan memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja.
“Sebagai langkah segera, JKKP telah mengeluarkan satu Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu serta lima Notis Larangan ke atas setiap injap blok di lokasi kejadian.
“Mana-mana pihak yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun, ” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Skuad PERKESO Prihatin turut digerakkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Putra Heights serta sembilan hospital sekitar Selangor bagi membantu mangsa trauma dan memproses tuntutan faedah Skim Keilatan.
“PERKESO sedang menghubungi waris bagi mengenal pasti mangsa yang layak menerima faedah dan mempercepatkan pembayaran,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, kenyataan itu meemberitahu bahawa pekerja terjejas yang tidak dapat hadir ke tempat kerja dinasihatkan supaya memanfaatkan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 bagi memudahkan urusan mereka.
“KESUMA turut menyeru majikan memberikan pertimbangan sewajarnya dalam meluluskan permohonan pekerja yang terkesan, selain mempertimbangkan pemberian cuti ihsan bergaji (paid compassionate leave) untuk tempoh yang sesuai bagi menguruskan sebarang kerosakan atau kehilangan harta benda.
‘Sebarang pertanyaan berkaitan isu perburuhan boleh diajukan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) atau melalui talian 03-88865192 untuk mendapatkan bantuan lanjut berhubung hak-hak pekerja dalam insiden ini, ‘ katanya.
KESUMA menegaskan komitmennya dalam menangani insiden itu dengan memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi dan sokongan sewajarnya diberikan kepada pekerja yang terkesan.-WILAYAHKU