Berita

Kestabilan politik upaya rawat krisis ekonomi

TITAH Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim jelas mengingatkan Ahli Parlimen untuk berganding bahu membantu kerajaan menangani kesuraman ekonomi
- Diterbit 1 Mac 2024 8:30 AM MYT

TITAH sulung Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim ketika pembukaan Parlimen tahun 2024 ini jelas menekankan aspek kestabilan politik yang berupaya merawat negara ketika berdepan dengan ambang kegawatan ekonomi.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Perang Saraf Media dan Maklumat (CMIWS) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Suhaimee Saahar berkata titah itu perlu dilihat sebagai mesej jelas yang menyeru semua pihak khususnya blok pembangkang untuk memberikan tumpuan kepada kestabilan politik dan pada masa sama membantu kerajaan dalam mencerdaskan semula ekonomi negara.

“Kestabilan negara amat penting kerana ia merupakan perkara penting yang menentukan polisi dan dasar serta program-program yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Ia berupaya menjamin pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara dan meningkatkan hubungan antarabangsa dan juga perpaduan dalam masyarakat kita.

“Jadi dengan kestabilan politik, maka wujudlah perpaduan dalam kalangan masyarakat yang merupakan refleksi atau cerminan daripada perpaduan dalam kalangan ahli politik yang menunjukkan kematangan seperti yang telah dizahirkan oleh YDPA,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Jelas Suhaimee, penegasan yang dizahirkan Sultan Ibrahim itu menunjukkan bahawa baginda ingin memastikan segala perancangan pembangunan yang boleh meningkatkan ekonomi di peringkat persekutuan dapat melimpah ke negeri-negeri lain termasuklah yang ditadbir oleh pembangkang.

“Ia penting kerana Malaysia menuju sebuah negara yang progresif dan menerusi cabaran semasa ini jika tidak berlakunya sinergi dan ikatan diantara persekutuan dan negeri, sukar untuk kita menunjukkan imej sebagai sebuah negara yang kembali membangun dan untuk menguruskan tekanan ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata peringatan Sultan Ibrahim yang enggan melayani kerenah ahli politik dalam usaha menukar kerajaan juga membuktikan baginda mahu mengelakkan situasi kacau bilau yang boleh merisikokan negara.

Justeru itu, katanya amat penting dalam tempoh tiga tahun ini dapat memastikan bahawa segala undi dan cadangan mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang stabil seperti titah YDPA.

“Dalam masa sama ia juga selari dengan hasrat Raja-Raja Melayu untuk membentuk satu gabungan perpaduan dalam kalangan parti politik kerana ia merupakan teras utama negara yang seiring dengan harapan rakyat.

“Peringatan ini haruslah diterima dengan hati yang terbuka dan inilah masa untuk maju kehadapan dan mungkin PRU sebelum ini banyak janji-janji yang telah dibuat dan dengan keadaan ekonomi semasa, global dan serantau, kita lihat penyelarasan dan sistem tata kelola yang lebih telus dan cekap yang sedang diusahakan dalam proses reformasi pentadbiran hari ini,” katanya.

Suhaimee menyatakan bahawa pembangkang perlu menjadi satu blok yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan yang memimpin kini.

“Mereka harus sedar bahawa masa untuk berpolitik sudah berakhir dan harus berperanan sebagai pembangkang yang berkualiti menerusi mekanisme semak dan imbang kerana inilah peranan yang sewajarnya diambil.

“Suara dan peranan pembangkang ini perlu untuk untuk menyemak setiap dasar-dasar yang diperkenalkan di samping mengimbangi tindakan-tindakan kerajaan menerusi idea-idea yang bernas untuk kemakmuran rakyat.

“Ia juga tidak wajar dijadikan modal politik sehinggakan berita palsu, fitnah menjadi satu senjata untuk menakutkan rakyat malah menimbulkan gambaran kepada rakyat dengan mengatakan kerajaan ini gagal berfungsi,” katanya.

Tambah beliau, tindakan mempolitikkan sebarang isu bukanlah bentuk kematangan politik yang dihasratkan oleh YDPA dan Raja-Raja Melayu malah dilihat membelakangkan titah baginda.

“Adalah penting untuk memastikan supaya mereka berpolitik secara matang, berhemah, jujur dan dinamik supaya dapat memberikan satu gambaran yang jelas bahawa kestabilan perpaduan hanya dapat diterjemahkan di dalam bentuk gabungan perpaduan yang berupaya mengikat kestabilan dan kesepaduan rakyat dalam negara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas