PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memandang serius kes penularan video-video yang heboh diperkatakan terkait dengan individu-individu tertentu.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata seperti yang semua sedia maklum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pihak.
“PKR Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik, dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa kemuka pengadilan.
“Kerajaan MADANI yang tegas dalam membenteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat. Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya,” katanya.
Razeef berkata serah kepada kerajaan negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan perlaksanaan projek-projek serta aktiviti-aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.
Beliau berkata kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan
menarik keyakinan pelabur.
“Kami yakin pengundi-pengundi di negeri ini amat bijaksana dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihanraya akan datang.
“Biarlah mereka memilih secara demokrasi,” katanya. – WILAYAHKU