POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 40 laporan di seluruh negara berhubung kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang disiarkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Wilayahku, hari ini.
Menurut beliau, untuk itu pihaknya akan mengambil keterangan Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily berhubung isu berkenaan.
“Proses merakam keterangan akan dilakukan hari ini di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

“Keterangan kedua-duanya diambil memandangkan mereka yang meluluskan gambar bendera selain salah seorang adalah pereka grafik ilustrasi gambar bendera berkenaan,” katanya.
Katanya, kes di siasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Terdahulu tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Kesilapan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tidak peka.
Akhbar berbahasa Cina itu tampil memohon maaf atas kesalahan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu.
Dalam satu kenyataan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi berkenaan disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. – WILAYAHKU