Berita

Kesesakan trafik Lebuhraya KL-Karak: Kerajaan lulus cadangan pelebaran lorong tambahan

Foto: Utusan
- Diterbit 4 November 2024 12:24 PM MYT

KERAJAAN telah meluluskan cadangan pelebaran lorong tambahan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang akan dilaksanakan AFA Prime Bhd (dahulu dikenali ANIH Bhd) selaku pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan itu dijangka dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap.

Menurut beliau, ia juga berupaya menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KL-Karak terutama pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.

“Projek pelebaran lebuh raya ini akan melibatkan jarak sepanjang 45.3 kilometer (km) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion yang dibiayai sepenuhnya syarikat konsesi lebuh raya.

“Antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).

“Skop kerja ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah timur,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai rancangan kerajaan mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya KLK.

Ahmad berkata, ketika ini, pihak syarikat konsesi sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak yang dijangka bermula pada Januari 2025.

Katanya, kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan.

“Berdasarkan perjanjian konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuhraya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada 2029.

“Kementerian Kerja Raya juga sedang melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembinaan Jalan dari Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya.

“Kajian ini bagi mencari penyelesaian untuk melengkapkan kesalinghubungan Lebuhraya
Lingkaran Tengah Utama (LTU) di samping menentukan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan kepada laluan sedia ada dari Pantai Timur ke Pantai Barat Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu, ia telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos siling kajian sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, kajian ini telah mula pada 12 Ogos lalu dan dijadualkan siap pada 12 Ogos 2025.

“Skop kajian ini melibatkan Kajian Guna Tanah, Kajian Sosio Ekonomi, Kajian Trafik, Kajian Penilaian Saringan Impak Alam Sekitar (Environmental Screening Study), Kajian Penilaian Saringan Impak Sosial (Social Screening Study), Reka bentuk Awalan Kejuruteraan, Perincian Penilaian Ekonomi dan Kewangan dan Cadangan Fasa Pelaksanaan Projek.

“Pelaksanaan projek fizikal adalah tertakluk kepada hasil kajian dan ketersediaan kewangan pihak kerajaan kelak,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas