Berita

Kesemua platform media sosial sedia dilesenkan

- Diterbit 3 Ogos 2024 3:00 PM MYT

KESEMUA platform media sosial menyatakan kesediaan secara dasar untuk dilesenkan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. berkata perkara itu disuarakan hasil daripada pertemuan dan perbincangan bersama semua penyedia platform media sosial di Singapura, baru-baru ini.

“Mereka faham, pasaran di Malaysia sangat besar dan penting dengan anggaran secara purata penggunaan rakyat Malaysia sekitar 30 hingga 50 gigabit (GB) data berbanding negara lain.

“Ini kerana usaha kita kurangkan harga internet telah berjaya, tetapi bagi saya bukan sahaja nak internet lebih laju dan meluas tetapi selamat untuk kegunaan rakyat Malaysia, katanya.

Beliau berkata demikan selepas merasmikan Sidang Anak Muda K2K, sempena hari kemerdekaan, di Cyberjaya hari ini.

Tambah Fahmi, jika semua platform mematuhi undang-undang ia sekali gus dapat menghapuskan jenayah siber di negara.

“Kita nak semua platform media sosial faham Malaysia sebuah negara berdaulat dengan undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Sekiranya undang-undang Malaysia terpakai dan patuh bukannya hanya hantaran, malah masalah jenayah siber juga dapat dihapuskan,” jelasnya.

Fahmi turut menyangkal dakwaan bahawa kerajaan akan menutup platform media sosial sekiranya platform tersebut tidak mengikut arahan yang telah ditetapkan.

“Saya sebut sebelum ini kita tak berhasrat untuk menutup atau menggantung mana-mana platform. Setiap negara ada hak melakukan apa yang mereka rasa sesuai dan selaras dengan perlembagaan masing-masing.

“Tetapi di Malaysia kita terbuka selagi mana platform ini akur dengan undang-undang bagi mengekang jenayah,” ujarnya.

Baru-baru ini, media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang akan berkuat kuasa 1 Jan depan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas