Oleh HAZIRAH HALIM & DIANA AMIR
IBU bapa merupakan individu yang paling rapat dengan anak-anak dan mempunyai peranan terbesar dalam mengatasi jenayah rogol dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Pakar Psikologi, Profesor Dr Mariani Md Nor, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat terhadap penggunaan gajet yang telah menjadi permainan baharu kanak-kanak.
“Mereka perlu mengawal screen time serta memantau penggunaan peranti kerana tidak dinafikan media sosial merupakan antara penyumbang meningkatnya kes jenayah rogol dalam kalangan kanak-kanak.
“Selain itu, perlunya meningkatkan tahap kawalan kendiri anak masing-masing supaya mereka berupaya melindungi diri sendiri daripada menjadi sasaran pedofilia yang memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi,” katanya.
Tambahnya, menjaga pergaulan sosial anak-anak adalah langkah yang sangat digalakkan untuk mengatasi jenayah tersebut yang semakin membimbangkan.
“Antaranya perlu ambil tahu siapa rakan mereka, menjaga batasan perlakuan antara kaum keluarga ketika berada di rumah. Bagi anak-anak di awal usia, ibu bapa perlu memberi kemahiran mengurus, membersihkan diri dan mengajar mereka untuk mengetahui tentang sentuhan baik dan sentuhan jahat,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mariani berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengatasi perkara ini memandangkan trendnya kelihatan semakin membimbangkan.
“Pihak kerajaan di bawah kementerian yang bertanggungjawab harus memainkan peranan penting dengan mengemas kini peraturan, garis panduan, dasar polisi yang dapat memastikan hak dan keselamatan kanak-kanak.
“Di pihak ibu bapa, mereka harus mempunyai gaya keibubapaan yang lebih responsif dengan kelestarian alam sekitar kanak-kanak itu sendiri manakala pihak sekolah perlu lebih arif dengan tindakan garis panduan yang perlu mereka ambil dalam memastikan pelaku diberi hukuman setimpal,” katanya.
Tambah Mariani, undang-undang sedia ada masih belum mampu untuk menangani jenayah rogol dalam kalangan kanak-kanak.
“Kita memerlukan garis panduan yang lebih menyeluruh dan undang-undang yang dapat mengelakkan daripada jenayah rogol berlaku. Langkah proaktif juga perlu diambil oleh pihak sekolah di mana pendidikan seks perlu diutamakan bagi mendidik anak-anak.
“Selain itu, perkara ini perlu dibahaskan bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat dibuat satu resolusi untuk jenayah seperti ini dapat dikurangkan.
“Di sekolah dan di mana-mana institusi perlu ada garis panduan yang sejagat agar setiap organisasi atau keluarga tahu apa tindakan yang boleh diambil bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini,” tegasnya.
Mariani berkata peningkatan kes rogol dalam kalangan kanak-kanak apabila pelaku mempunyai rangsangan seksual yang tinggi terhadap fizikal golongan kecil tersebut.
“Melalui kajian kebarangkalian pelaku melalui pengalaman yang sama iaitu mungkin pernah diperlakukan sebagai mangsa rogol di usia kanak-kanak dan tontonan media sosial juga sedikit sebanyak mempengaruhi pembentukan peribadi,” ujarnya. – WILAYAHKU