SEBANYAK 14 kes rampasan diesel dilaporkan melibatkan 68,457 liter diesel seluruh negara bagi tempoh 20 hari selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan dari 10 hingga 30 Jun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan drastik berbanding bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun iaitu sebanyak 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.
“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama daripada 40 orang kepada seorang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, Armizan memaklumkan, terdapat peningkatan bagi kes yang melibatkan rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Jumlah tangkapan pula telah meningkat daripada 10 kepada 17 orang dalam tempoh yang sama.
“KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah OPS TIRIS 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya. – WILAYAHKU