PEGAWAI Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa di mahkamah atas tuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan berjumlah RM44,600.20.
Ia antara syor-syor dikemukakan ALK yang diluluskan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaku juga dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet selain ditamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kes penganiayaan melibatkan tekapan seterika ke dada mangsa oleh pelaku telah dikesan jurulatih bertugas ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober lalu.
“Susulan itu satu siasatan dijalankan dan mendapati pelaku telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa.
“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November lalu dan prosiding masih berjalan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohamed Khaled berkata, mesyuarat MAT Siri 623 yang bersidang itu meluluskan syor ALK terhadap empat lagi Pegawai Kadet yang terlibat dalam kes penganiayaan.
Katanya, ALK telah mengesyorkan tindakan terhadap pelaku tersebut kepada MAT termasuk pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, pemberhentian kerja daripada perkhidmatan ATM dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan.
Jelas beliau, ganti rugi itu dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
“Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau menambah, selain pelaku pertama, kes kedua melibatkan tiga pelaku terhadap seorang Pegawai Kadet dan pendedahan kes ini adalah melalui maklumat awal diterima Ketua Kompeni dariapda seorang pensyarah UPNM.
Katanya, ketiga-tiga pelaku juga masing-masing perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.
Kes ketiga pula katanya, merupakan kes penganiayaan yang melibatkan kecederaan fizikal dan dikenal pasti setelah jurulatih berasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Siasatan lanjut mendapati pelaku telah melakukan tindakan salah aku secara fizikal yang menyebabkan kecederaan ‘soft tissue injury over lower back secondary to trauma’ kepada mangsa.
“Selain dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet dan ditamatkan perkhidmatan dalam ATM, pelaku dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan sebanyak RM32,115.95,” katanya.
Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kementerian Pertahanan memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.
“Kita mengharapkan agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan,” katanya. – WILAYAHKU