PERBICARAAN kes khalwat membabitkan pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, ditangguhkan kepada 20 dan 27 Februari depan.
Hakim Syarie, Abu Suffian Ab Yaziz membenarkan penangguhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh dicadangkan. Tempoh jaminan turut dilanjutkan sehingga tarikh perbicaraan seterusnya.
Mahkamah juga membenarkan Aliff menggantikan penjamin baharu selepas penjamin sebelumnya iaitu adik kepada Ruhainies, Muhammad Nur Aiman Zainul Ilyas menarik diri dan ditukarkan kepada Furqan Abdul Rahim.
Pada prosiding 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkhalwat di sebuah unit kondominium mewah di Bukit Bintang dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan hakim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada bersama orang Islam yang bukan isteri, suami atau mahram, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak, bahawa mereka membuat perbuatan tidak bermoral.
Aliff dan Ruhainies didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dihukum denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 9 Mac lalu, Aliff dan Ruhainies dicekup berkhalwat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di kediaman milik Ruhainies. Perkara itu disahkan sendiri pelakon wanita berkenaan menerusi satu kenyataan.
Ruhaines bagaimanapun berkata, Aliff berada di rumahnya kerana ingin bertemu ahli keluarganya memandangkan aktor itu sudah mengenali keluarga Ruhaines sejak 10 tahun lalu.
Susulan kes khalwat berkenaan, isteri Aliff yang juga pelakon dan penyanyi Bella Astillah kemudiannya memfailkan perceraian dan mereka sah bercerai pada 13 Jun lalu dengan talak satu. – WILAYAHKU