Berita

Kes FashionValet: SPRM telah lengkapkan kertas siasatan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 28 November 2024 5:00 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.

“Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kementerian Kewangan memaklumkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Khazanah, PNB dan FashionValet memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Ketiga-tiga pihak masing-masing Khazanah, PNB dan FashionValet telah mengeluarkan kenyataan mereka.

SPRM sebelum ini turut menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis termasuk kediaman pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di sekitar Lembah Klang.

Pasangan suami isteri itu turut diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas