Berita

Kes denggi menurun, tiada kematian dilaporkan

- Diterbit 3 Mei 2024 4:03 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan pengurangan kes demam denggi kepada 2,237 kes pada Minggu Epidermiologi ke-17 (ME17) bagi tempoh 21 hingga 27 April tahun ini berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME17 adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 63 lokaliti yang dilaporkan, 51 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (4); Pulau Pinang (3); Perak dan Kedah (2); manakala satu lokaliti di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME17.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME17.

“Bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah serta enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas