KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 2,515 kes pada Minggu Epidermiologi ke-31 (ME31) bagi tempoh 28 Julai hingga 3 Ogos tahun ini berbanding 2,609 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat lima kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.
KKM dalam satu kenyataan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME31 adalah sebanyak 88,255 kes berbanding 71,193 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Tambahnya, terdapat 78 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 49 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME31 adalah sebanyak 95 lokaliti berbanding 96 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.
“Dari 95 lokaliti yang dilaporkan, 75 lokaliti di negeri Selangor; Negeri Sembilan (6); Perak (5); Kuala Lumpur dan Putrajaya (3); Sabah (3); Kedah (2); Pulau Pinang (1),” katanya hari ini.
Sementara itu, KKM berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada ME31.
Jelasnya lagi, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 63 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME31.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,605 sampel darah serta lapan sampel urin dan tiga sampel cecair serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU