KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan penurunan kes demam denggi kepada 3,483 kes pada Minggu Epidermiologi ke-07 (ME07) bagi tempoh 11 hingga 17 Februari tahun ini berbanding 3,631 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian akibat komplikasi demam denggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME07 adalah sebanyak 25,541 kes berbanding 15,243 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Tambah Muhammad Radzi, terdapat 14 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME07 adalah sebanyak 185 lokaliti berbanding 199 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.
“Dari 185 lokaliti yang dilaporkan, 144 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (17); Perak (9); Negeri Sembilan (6); Pulau Pinang (4); Kedah dan Sabah (2) serta Pahang (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada ME07.
Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah empat kes namun tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME07.
“Bagi survelan zika, sebanyak 307 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU