KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi kepada 2,788 kes pada Minggu Epidermiologi ke-26 (ME26) bagi tempoh 23 hingga 29 Jun tahun ini berbanding 2,438 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat lima kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME26 adalah sebanyak 75,263 kes berbanding 59,057 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Tambah Muhammad Radzi, terdapat 60 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 40 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME26 adalah sebanyak 78 lokaliti berbanding 81 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.
“Dari 78 lokaliti yang dilaporkan, 61 lokaliti di negeri Selangor; Perak (5); Kedah (4); Negeri Sembilan (3); Kuala Lumpur dan Putrajaya (2); Sarawak (2); serta Pulau Pinang (1),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat tiga kes direkodkan pada ME26.
Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 41 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME26.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,282 sampel darah serta tujuh sampel urin dan tiga sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU