Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kes denggi meningkat, 5 kematian dilaporkan

- Diterbit 26 Jun 2024 11:48 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi kepada 2,900 kes pada Minggu Epidermiologi ke-24 (ME24) bagi tempoh 9 hingga 15 Jun tahun ini berbanding 2,508 kes pada minggu sebelumnya dan terdapat lima kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME24 adalah sebanyak 70,037 kes berbanding 54,139 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat 53 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan pada ME24 adalah sebanyak 85 lokaliti berbanding 71 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya.

“Dari 85 lokaliti yang dilaporkan, 58 lokaliti di negeri Selangor; Kuala Lumpur dan Putrajaya (8); Kedah (6); Perak (5) Negeri Sembilan (4); manakala Pulau Pinang (2) serta Sarawak (2),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, terdapat tiga kes direkodkan pada ME24.

Jelas beliau, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 37 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada ME24.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,024 sampel darah serta enam sampel urin dan dua sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas