KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan ‘Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM’ menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja.
Malah katanya, garis panduan itu menjelaskan prosedur pelaporan selain langkah-langkah pencegahan dan intervensi terhadap individu dan organisasi.
“Ini bagi memelihara kesejahteraan fizikal dan mental anggota serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni, bebas daripada ancaman buli.
“Secara umum, gejala buli dalam organisasi boleh membawa pelbagai kesan negatif seperti menurunkan produktiviti, menjejaskan moral pekerja dan menyebabkan masalah kesihatan mental,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan KKM menoktahkan kes-kes buli di hospital dan klinik kerajaan.
Dr Dzulkefly berkata, sebagai sebuah kementerian yang menerajui sektor kesihatan, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan bagi menoktahkan isu buli ke arah memelihara kesejahteraan mental petugas di KKM.
Katanya, secara prinsipnya KKM tidak berkompromi dengan isu buli dan berdasarkan aduan kes-kes buli sebelum ini, KKM mengambil sikap tegas dan telus dengan melaporkan hasil siasatan selepas siasatan selesai dijalankan.
“Bagi memastikan isu buli mudah diadu dan ditangani secara telus, KKM pada 1 Oktober 2022 telah melancarkan sistem aduan buli secara dalam talian iaitu sistem MyHELP.
“Ini membolehkan pegawai menyalurkan aduan mengenai insiden buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat KKM tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan,” katanya. – WILAYAHKU