POLIS Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima apa-apa laporan, baik daripada mangsa mahupun keluarga mangsa, berhubung kes buli dan dera melibatkan Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM).
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Wilayahku.
Namun begitu menurut beliau, pihaknya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai insiden berkenaan.
“Kita (PDRM) belum menerima apa-apa laporan dan kita tengok (ambil maklum) kenyataan ATM.
“Mungkin mereka (ATM) jalankan siasatan dalaman,” katanya.
Terdahulu ATM mengesahkan sedang menyiasat laporan yang tular di media sosial mengenai insiden Pegawai Kadet ALK-UPNM yang disyaki dibuli oleh seorang ‘senior’.
Malah laporan itu menyebut mangsa didera menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.
ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – WILAYAHKU