Berita

Kes baharu jangkitan Mpox dikesan, pesakit ada sejarah perjalanan ke luar negara

Gambar hiasan
- Diterbit 27 November 2024 6:07 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat satu kes baharu jangkitan Mpox clade II dilaporkan pada 25 November lalu.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kes Mpox di negara ini bagi tahun ini meningkat kepada dua kes.

KKM memberitahu, secara kumulatifnya, sebanyak 11 kes Mpox dilaporkan sejak 26 Julai tahun lalu.

“Kes baharu itu melibatkan lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terlibat dalam aktiviti berisiko.

“Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 November dan beliau telah mendapatkan rawatan pada 23 November lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

KKM menambah, pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta menerima rawatan simptomatik.

Katanya, semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda dan gejala Mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan.

“Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox, iaitu spesies di bawah genus Orthopoxvirus.

“Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan Mpox,” katanya.

Menurut KKM, jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.

Katanya, gejala Mpox ialah demam berserta ruam maculopapular rash atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

Jelasnya, tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan Mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.

“Individu positif jangkitan Mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.

“Lazimnya kes Mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas