Berita

Kerugian akibat jenayah dalam talian berjumlah RM1.224 bilion

Gambar hiasan
- Diterbit 3 Disember 2024 2:14 PM MYT

KERUGIAN akibat jenayah dalam talian di negara ini mencecah RM1.224 bilion, bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini melibatkan penipuan dalam talian (online scam), jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman serta pelaburan tidak wujud.

Menurut beliau, ia semakin membimbangkan kerana banyak nombor telefon, akaun bank dan nama syarikat direkodkan di dalam Semak Mule melibatkan penipuan jenayah dalam talian.

“Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan melibatkan jenayah itu.

“Portal Semak Mule banyak membantu dalam usaha menangani penipuan dengan lebih 32 juta carian dilakukan dan lebih 22 juta di antaranya menunjukkan usaha pemindahan wang ke akaun mule, namun banyak wang yang berjaya diselamatkan melalui aplikasi tersebut,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai kenaikan kes dan langkah pencegahan jenayah penipuan dalam talian.

Anwar berkata, kerajaan mencadangkan pindaan undang-undang yang telah diluluskan baru-baru ini membabitkan Seksyen 116D yang memberi kuausa kepada pegawai polis merampas dan menyekat berkaitan transaksi kewangan.

Langkah-langkah lain katanya, membabitkan Kementerian Komunikasi yang berjaya menyekat lebih 1.4 bilion panggilan meragukan serta sejumlah 1.2 bilion sistem perkhidmatan ringkas (SMS) yang tidak diminta (unsolicited SMS).

“Kemudian Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menamatkan 118,184 talian dan menyekat akses kepada 9,474 laman palsu yang telah dikesan.

“Ini kita rumuskan tentang masalah dan tindakan diambil, maka pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dilakukan, selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas