PENGHIBUR terkenal, Datuk Jamal Abdillah mahu anak-anaknya yang juga penyanyi, Osama Yamani,18, dan Zaki Yamani,13, fokus kepada pelajaran memandangkan kerjaya nyanyian ada naik turunnya.
Jamal Abdillah,61, menjadikan contoh situasi sekarang, negara diserang pandemik COVID-19 yang menyebabkan pendapatan penyanyi sangat terjejas.

“Sebagai ayah, sudah tentu saya mahukan yang terbaik buat anak-anak saya.
“Saya lihat, Osama dan Zaki masih tercari-cari bidang yang mereka suka. Buat masa ini, nampaklah kecenderungan mereka dalam bidang seni.
“Bagi saya yang sudah lama lalui bidang ini, selain menyanyi mereka harus ada pendidikan yang baik, ilmu dan disiplin.
“Bidang hiburan ini, pendapatannya tidak menentu. Kalau sekadar tempelan, sampai bila kan. Jadi kena ada bidang lain yang diceburi.
“Bila berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti pandemik COVID-19 ni, sekurang-kurangnya mereka ada bidang lain. Mereka kena beringat untuk masa depan,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Bagi Jamal, tiada salahnya untuk Osama dan Zaki memilih bidang nyanyian, namun pelajaran perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Ke Mana pun kita pergi, ilmu itu sangat penting dan boleh digunakan hingga akhir hayat.
“Zaki masih bersekolah jadi seelok-eloknya fokus pelajaran sekolah terlebih dahulu.
“Osama (Yamani) pula perlu fokus betul-betul belajar di Aswara (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan)
“Kalau mereka mahu teruskan berada dalam bidang muzik atau nyanyian, jadilah penyanyi yang berilmu.
“Contohilah Datuk Ramli MS. Beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam muzik dan hebat dalam membuat susunan muzik untuk orkestra.
“Begitu juga dengan Datuk M.Nasir, beliau hebat dalam mencipta lagu.
“Setiap orang ada kelebihan masing-masing. Jadi Osama dan Zaki perlu cari apa kelebihan yang mereka ada,” jelas Jamal lagi.

Selain Osama dan Zaki, Jamal juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Nur Azura Yamani (setahun) hasil perkahwinannya bersama Datin Zai Izzati Khiruddin, 25.
Kini, Zai Izzati hamil anak kedua mereka yang dijangka lahir pada November ini. Semoga segalanya dipermudahkan.
Jangan lupa baca kisah Datuk Jamal Abdillah dalam akhbar WILAYAHKU yang akan datang. – WILAYAHKU