KERJASAMA erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya memulihkan wang sebanyak AS$20 juta (RM90 juta) berhubung dana 1MDB yang berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
Menurut SPRM, wang tersebut melibatkan Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).
“White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ.
“Ini selepas mendapati dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan,” jelas SPRM dalam kenyataan pada Khamis.
SPRM menambah, pihaknya dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
Sehingga kini katanya, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan Kerajaan Malaysia.
Jelasnya, ini tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.
“SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan dari Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah.
“Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – WILAYAHKU