KERJASAMA yang erat oleh pimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan bersama para pimpinan di Miri, Sarawak harus sentiasa diperkasakan, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata ini adalah usahanya dalam memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara yang mampan buat semua.
Menurutnya, lawatan kerja beliau di Miri semalam diteruskan dengan Program Ramah Mesra dan Penghargaan Bersama Pimpinan Tempatan di Miri, Sarawak.
“Saya ucapkan syabas kepada semua atas kehadiran seluruh ketua-ketua cabang dan warga Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak yang datang dari seluruh pelosok Bumi Kenyalang ini,” katanya di Facebook.
Menurut Azman, dalam majlis itu beliau turut menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui peruntukan khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah dengan komitmen jitu oleh para pimpinan tempatan, program ini dapat kita teruskan secara berkala pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Miri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong.
Sementara itu, Azman turut membuat kunjungan hormat ke Majlis Bandaraya Miri semalam.
Kehadirannya itu disambut oleh Timbalan Datuk Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad dan telah diberikan penerangan bagi mendapatkan input bagi diimplikasi di Wilayah.
Bandaraya Miri yang terletak di Sarawak merupakan bandaraya pertama bukan ibu negeri yang mendapat taraf bandar raya.
Miri mendapat kenaikan status ini pada 20 Mei 2005 yang membawa gelaran Bandaraya Peranginan.
Menurutnya lagi, beliau juga semalam meluangkan masa bersama Pasukan Silat Wilayah Persekutuan bagi SUKMA 2024 di Miri, Sarawak.
Beliau sempat menitipkan kata-kata semangat buat pasukan silat Wilayah Persekutuan.
“Semoga pasukan silat Wilayah Persekutuan dapat meraih emas dalam acara ini, ” katanya. – WILAYAHKU