Berita

Kerjasama kerajaan, industri, komuniti bendung keciciran era digital

- Diterbit 16 November 2024 5:58 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri dan komuniti untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang tercicir dalam era kemajuan digital yang pesat.

Untuk itu menurutnya, adalah penting untuk Malaysia bekerjasama menerusi ASEAN seperti inisiatif hijau ASEAN dan agenda digital bersama untuk melengkapkan kekuatan setiap negara dan menangani cabaran bersama.

“Malaysia komited memacu pertumbuhan mampan termasuk semasa menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

“Dan saya menyeru kerjasama yang lebih kukuh antara kerajaan, industri, dan komuniti untuk membuka peluang dalam ruang digital serta memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era kemajuan digital yang pesat,” katanya dalam hantaran terbaharunya di Facebook.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2024 di Peru.

Anwar kini berada dalam rangka lawatan rasmi ke Lima, Peru dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November.

Terdahulu beliau mengupas pandangan serta berkongsi dasar negara terkait peluang dan cabaran dalam revolusi Kecerdasan Buatan (AI).

Malaysia katanya, berhasrat untuk memanfaatkan AI bagi mencapai pertumbuhan inklusif, menangani jurang digital dan isu etika.

“Kerajaan juga sedang mewujudkan kerangka yang memberi tumpuan kepada inovasi dan keterangkuman terkait AI.

“Kita juga menekankan keperluan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan dan pendigitalan,” katanya.

Malah beliau berkata, terdapat juga keperluan pendekatan pelbagai aspek dalam penerapan AI termasuk pelaburan dalam tenaga hijau, pemuliharaan air selain reformasi peraturan birokrasi agar lebih responsif kepada pelabur.

“Sebagai konklusi, saya menegaskan walaupun akan ada gangguan dengan AI, namun kita mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan dan latihan bagi mewujudkan syarat yang tepat untuk kejayaan di masa depan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas