ISU bergantung pada China atau dengan kata lain ‘bagi muka’ sering kali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha untuk menyerang pihak kerajaan. Mungkin kerana mereka ini tiada ‘modal’ untuk berbicara.
Baru-baru ini kecoh apabila ada yang mendakwa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan terlalu obses kepada China sehingga memberi peluang kepada negara tersebut untuk meneroka tanah-tanah di Malaysia.
Malah, sangat keterlaluan apabila menuduh ia merupakan titik permulaan kedaulatan negara mula terancam. Sepatutnya, kita bangga apabila PM berusaha melakukan pelbagai perubahan dan pembaharuan demi kemajuan negara dalam pelbagai aspek.
Dalam wawancara eksklusif bersama People’s Daily Online semasa lawatan kerja di Shanghai, China, Anwar berkata Malaysia bersedia memperluas pertukaran kepakaran dan kemahiran dengan China dalam bidang perdagangan, pelaburan, komunikasi, ekonomi digital dan pendidikan untuk memperkukuh kerjasama.
“Pembinaan komuniti Malaysia dan China dengan masa depan bersama telah memuncak dalam tempoh setahun lalu.
“Kerjasama Malaysia-China meningkat secara menyeluruh dan strategik,” katanya berharap keduadua negara terus mewujudkan peluang kerjasama baharu.
Sempena 50 tahun hubungan diplomatik China dan Malaysia, hubungan kedua-dua negara telah mengekalkan momentum kerjasama yang baik.
Lawatan Anwar ke China kali ini antaranya untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di mana Malaysia ialah satu daripada negara tetamu kehormat untuk ekspo itu.
Penglibatan dalam CIIE memberikan peluang kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran China.
“Ekspo itu bukan sahaja memaparkan pencapaian China malah ia juga menawarkan ruang dan peluang kepada syarikat dari negara membangun termasuk Malaysia untuk mempromosikan produk masing-masing sekali gus menjadi wadah baharu untuk meneroka kerjasama,” ujar beliau.
Nampaknya, jalinan hubungan baik antara Malaysia dan China bukanlah seperti apa yang ditafsirkan oleh golongan yang suka menabur fitnah dan mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat.
Sedangkan apa yang dilakukan PM adalah usaha berterusan yang tidak kenal erti penat lelah untuk memajukan negara bukannya menjual atau menggadaikan kedaulatan seperti yang didakwa.
Malah, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 juga adalah untuk memperkukuh hubungan ASEAN dan China serta mengukuhkan sinergi dengan China khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. – WILAYAHKU