Agama

Kerja sampingan jadi haram jika mengganggu tugas hakiki

Gambar hiasan
- Diterbit 13 September 2024 5:13 PM MYT

MENGIMBANGI tanggungjawab profesional dengan komitmen peribadi adalah cabaran yang dihadapi ramai orang khususnya umat Islam dan ia berpotensi menjadi sangat rumit.

Sudah pasti ramai yang berusaha untuk mengekalkan pekerjaan utama mereka, namun pada masa sama terpaksa mencari alternatif menambah pendapatan sekali gus terlibat dalam kerja sampingan bagi memenuhi keperluan peribadi yang kadang kala boleh menyebabkan konflik dan menjejaskan prestasi kerja hakiki.

Umat Islam sering berpandukan prinsip amanah selain sering diingatkan bahawa pekerjaan sebagai ibadah dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah.

Perspektif ini boleh menambah tekanan untuk cemerlang dalam pekerjaan utama mereka di samping memenuhi kewajipan lain.  Selain itu, keperluan untuk mematuhi amalan keagamaan seperti waktu solat dan waktu rehat boleh merumitkan lagi keseimbangan kerja dan kehidupan mereka.

Cabarannya terletak pada menguruskan dua peranan ini tanpa menjejaskan kualiti kerja utama mereka. Ini selalunya memerlukan pengurusan masa yang teliti dan menetapkan sempadan yang jelas selain perlu mendapatkan kebenaran daripada majikan dan sokongan rakan sekerja.

Setiap pekerja yang melakukan kerja-kerja sampingan ini juga perlu memahami dan menangani cabaran unik ini sekali gus dapat membantu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan menyokong pekerja Muslim.

Penasihat Syariah Sharlife Sdn Bhd, Arham Merican berkata prinsip asas yang ditekankan untuk setiap umat Islam dan pekerja ialah fokus menunaikan tugas semasa waktu kerja dan tidak melakukan aktiviti lain yang berpotensi melalaikan tugasnya dan tidak mencapai sasaran atau petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditentukan oleh majikan.

ARHAM MERICAN

“Hal ini merujuk kepada hadis Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah memerintahkan berbuat baik terhadap segala sesuatu..” – Hadis Riwayat Muslim yang menekankan kewajipan untuk menunaikan pekerjaan dengan penuh fokus dan terbaik bagi mencapai sasaran tugas yang diletakkan,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Arham, pekerjaan sampingan boleh bercanggah dengan kewajipan moral jika ia mengganggu fokus, produktiviti atau kualiti kerja utama yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Hubungan majikan dengan pekerja adalah di atas kontrak atau akad Ijarah yang mendasari perjanjian antara pekerja dan majikan, di mana pekerja berjanji untuk memberi khidmat dan masa mereka sebagai balasan untuk gaji dan hak-hak pekerja yang dijamin seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan takaful perubatan, kemudahan komputer riba, elaun tambahan dan sebagainya. Masing-masing diikat dengan perjanjian itu dan perlu menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Ujar Arham, bagi memastikan kerja sampingan setiap pekerja tidak membawa kepada pengabaian tanggungjawab hakiki mereka, pekerja haruslah memilih jenis pekerjaan sampingan yang halal dan waktu melakukannya tidak mengganggu waktu dan komitmen tugas utama.

“Pekerja juga perlu melakukan kerja sampingan di luar waktu kerja utama selain memastikan kerja sampingan tidak mengalih perhatian dan fokus yang diperlukan untuk tugas utama.

“Dalam masa sama perlu mematuhi peraturan dan polisi tempat kerja berkaitan kerja sampingan contohnya ada syarikat memberi peluang pekerja mempunyai pekerjaan sampingan dengan syarat ia dimaklumkan ke bahagian Sumber Manusia dan perlu sentiasa mengutamakan kualiti dan produktiviti dalam pekerjaan utama,” katanya.

Beliau berkata sudah pasti akan wujud konflik dilema di antara tugasan hakiki dan pekerjaan sampingan iaitu konflik kepentingan antara pekerjaan utama dan sampingan, penggunaan sumber atau data, maklumat organisasi untuk kerja sampingan selain tidak puas hati, dengki dan cemburu antara rakan sekerja.

“Mereka boleh mengawal dilema etika sambil mengekalkan integriti dan kejujuran dengan bersikap telus dengan majikan utama mengenai kerja sampingan dan memastikan kerja sampingan tidak bercanggah dengan kepentingan pekerjaan utama.

“Setiap pekerja ini perlu mematuhi secara ketat batas-batas etika dan profesional antara kedua-dua pekerjaan seperti hanya melakukan kerja sampingan di luar waktu kerja atau waktu cuti dan tidak sesekali menggunakan data pekerjaan utama untuk pekerjaan sampingan selari dengan kepatuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

Arham berkata dalam usaha mengejar pendapatan tambahan menerusi pekerjaan sampingan, setiap pekerja haruslah mengimbangi dengan kewajipan moral dan etika untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam pekerjaan utama seseorang seperti mengutamakan kualiti dan produktiviti dalam pekerjaan utama.

“Sebagai seorang Muslim harus beriman rezeki ini telah ditetapkan Allah,” ujarnya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas