ATLET Wilayah Persekutuan, Muhammad Nabil Haikal Abdul Majid semakin menyerlah dalam arena sukan silat sama seperti abangnya, Muhammad Nazirul Hadi Abdul Majid.
Memasang impian untuk beraksi di pentas Olimpik suatu hari nanti, atlet berusia 17 tahun itu menjadikan abangnya sebagai idola.
Katanya, untuk sampai ke tahap itu, dia perlu bekerja keras selain memberi komitmen yang sangat tinggi sama seperti dilakukan idolanya itu.
“Mungkin ia akan mengambil masa bertahun-tahun berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik namun amat berbaloi memandangkan ia adalah jalan yang saya pilih dan banggakan,” ujarnya.
Ditanya tentang penglibatannya dalam sukan ini, menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Titiwangsa itu, sering kali melihat abangnya berlatih menimbulkan minatnya untuk bergiat aktif.
“Abang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya tentang teknik silat. Saya juga sering mengikutinya menyertai kejohanan dan melalui itu juga saya mula mengetahui serba sedikit selok-belok sukan,” ujarnya seni silat memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu ini terkenal dan diwarisi masyarakat.
Beralih kepada perkembangan terbaharunya, anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini gigih menjalani latihan bagi persediaan untuk berentap dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Sarawak pada Ogos tahun hadapan.
“Sejujurnya daripada dahulu saya berusaha sedaya upaya untuk menghadiahkan emas buat negara. Biarpun masih lambat lagi kejohanan tersebut namun itu bukan alasan untuk berlengah,” ujarnya yang turut menjalani latihan di gimnasium bagi menguatkan stamina.
Katanya lagi, selain daripada latihan, dia juga sentiasa mempersiapkan diri dari segi mental agar tidak berasa gentar ketika berada di gelanggang semasa hari perlawanan.
“Saya tidak hanya mengharapkan latihan daripada jurulatih semata-mata. Sebagai atlet, kita perlu ada inisiatif sendiri untuk berjaya,” ujar atlet kelahiran Kuala Lumpur ini. – WILAYAHKU