DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merancang dan meneliti untuk berbincang berkaitan pindaan undang-undang berhubung masalah kenderaan buruk atau terbiar di Kuala Lumpur.
DBKL berkata perbincangan yang lebih teliti perlu dibuat kerana ia melibatkan peranan dan juga kerjasama dari agensi-agensi yang lain.
“Daripada segi peraturan ia adalah jelas, namun perlu lebih diperhalusi kerana bukan sahaja melibatkan DBKL tetapi turut melibatkan agensi lain dalam menangani isu ini,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Menurut DBKL, sebanyak 623 buah kenderaan buruk atau tersadai di sekitar Kuala Lumpur telah dikenakan tindakan tunda oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.
“Statistik tersebut melibatkan sebanyak 11 kawasan Parlimen yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Seputeh mencatatkan jumlah tertinggi dengan 154 diikuti oleh Bandar Tun Razak sebanyak 122 serta Cheras (78).
“Antara kawasan lain ialah Wangsa Maju (54), Segambut (41), Bukit Bintang (37), Batu (35), Setiawangsa (34), Kepong (26) serta Lembah Pantai (21) dan Titiwangsa (21),” ujarnya.
Walau bagaimanapun, DBKL menjelaskan situasi semasa mengenai perkara tersebut masih lagi terkawal.
“Situasi semasa berkaitan kenderaan buruk atau tersadai di Kuala Lumpur masih lagi terkawal.
“Pihak DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kenderaan buruk atau tersadai ini.
“Aduan berkaitan mengenainya merupakan antara aduan yang banyak diterima oleh DBKL setiap bulan,” jelasnya.
Tambah DBKL, terdapat denda atau penalti yang akan dikenakan kepada pemilik-pemilik kenderaan terbiar ini.
“Bagi kenderaan yang diambil tindakan tunda terdapat beberapa caj yang dikenakan semasa dalam proses menuntut semula kenderaan mereka.
“Pemilik kenderaan akan dikenakan kompaun, denda tunda dan denda simpan perlu dijelaskan sebelum kenderaan mereka dilepaskan,” ujarnya.
Malah DBKL turut menyatakan bahawa kos bagi mengendalikan dan melupuskan kenderaan terbiar adalah tinggi.
“Kos-kos dalam menguruskan kenderaan ini adalah tinggi kerana pihak DBKL perlu membeli kenderaan-kenderan yang sesuai digunakan dalam menunda kenderaan-kenderaan tersebut.
“Selain itu, terdapat juga kes-kes kerja lebih masa yang perlu difikirkan kerana ada lokasi yang tidak boleh dimasuki pada hari biasa dan waktu siang,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL berkata terdapat pelbagai sebab sesebuah kenderaan tersebut ditinggalkan sehingga menjadi usang dan terbiar.
“Antaranya ialah pemilik kenderaan sudah membeli kenderaan baru; kenderaan terlibat dengan kes jenayah serta kenderaan yang ditinggalkan setelah pemilik asal meninggal dunia dan tidak dijaga waris.
“Selain itu, terdapat juga sebab seperti kenderaan yang dihantar ke bengkel tetapi tidak diambil semula oleh pemilk dan kenderaan lama disimpan kerana mempunyai nilai sentimental kepada pemilik kenderaan itu,” katanya.
DBKL menyatakan, berdasarkan pemerhatian pbt tersebut kenderaan terbiar atau ditinggalkan tersebut kebanyakannya didapati di kawasan perumahan.
“Berdasarkan hasil siasatan dan penelitian daripada aduan yang diterima, kebanyakan kenderaan buruk atau tersadai ini adalah di kawasan-kawasan perumahan.
“Faktor utama adalah seperti kenderaan itu rosak, pemilik sudah berpindah, kenderaan susah dapat alat ganti dan pelbagai lagi,” tegasnya.
DBKL juga menjelaskan pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu tersebut.
“Buat masa kini, pihak DBKL telah kerap kali menguar-uarkan isu ini di media sosial selain berharap warga kota dapat memainkan peranan dan melupuskan kenderaan lama milik mereka dengan sukarela.
“Pihak komuniti boleh bekerjasama dengan DBKL bagi menangani isu ini selain memberikan aduan, mereka juga boleh menguar-uarkan kepada komuniti atau kalangan penduduk setempat bagi melupuskan kenderaan sendiri kenderaan terbiar,” ujarnya.
DBKL memberitahu terdapat empat saluran yang boleh digunakan orang awam untuk melaporkan kes-kes kenderaan terbiar tersebut.
“Saluran aduan yang diguna pakai pada kini adalah ADU@KL, telefon, alamat bersurat serta bersemuka,” katanya. – WILAYAHKU