Berita

Kerajaan yakin ekonomi negara berkembang hingga 5.5 peratus

- Diterbit 18 Oktober 2024 4:43 PM MYT

KERAJAAN yakin ekonomi negara pada tahun depan berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi ekonomi mengatasi jangkaan, sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit; mengambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI.

Katanya, dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus; ketimbang antara 4 ke 5 peratus sebelumnya.

“Malah, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus, ketimbang 4.3 peratus April lalu,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.

“Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.

“Tahap inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras dua peratus.

“Namun, kita tidak berganjak dalam hal meredakan kenaikan kos sara hidup yang
membebankan rakyat,” katanya.

Beliau memberitahu, negara mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan RM329.5 bilion – tertinggi pernah direkodkan.
“Bagi separuh pertama 2024, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan RM160 bilion, melonjak ketimbang RM135.6 bilion,” katanya.

Tambahnya, ringgit diiktiraf salah satu mata wang dengan prestasi terbaik di dunia.
“Kesungguhan semua pihak berjaya mengukuhkan ringgit 14.4 peratus ketimbang dolar Amerika dalam suku ketiga 2024, pencapaian terbaik sejak tahun 1973.

“Sejarah tercipta tahun ini apabila nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi RM2 trilion selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata,” katanya.

Beliau memaklumkan, negara juga berjaya kekalkan taraf kredit berdaulat oleh Moody’s, S&P Global dan Fitch masing-masing pada A3, A- dan BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’.

Katanya, firma terkemuka global turut meningkatkan taraf pasaran saham Malaysia iaitu JP Morgan kepada taraf (neutral), HSBC (neutral), Goldman Sachs (neutral) dan Nomura (wajaran tinggi). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas