Berita

Kerajaan usaha pastikan peningkatan gaji penjawat awam tidak datangkan impak negatif

- Diterbit 7 November 2024 10:37 AM MYT

KERAJAAN secara whole-of-nation akan berusaha memastikan peningkatan gaji penjawat awam bermula bulan depan tidak mendatangkan impak negatif khususnya dari segi kenaikan inflasi serta kos sara hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu boleh dicapai antaranya melalui pelaksanaan pemberian subsidi bersasar serta bantuan langsung kepada golongan yang memerlukan.

“Kerajaan berpandangan adalah wajar gaji penjawat awam dinaikkan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima pelarasan gaji adalah pada 2012.

“Peningkatan gaji yang diberikan ini adalah selaras dengan peningkatan produktiviti perkhidmatan awam selain mampu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup semasa yang dihadapi oleh penjawat awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) sama ada peningkatan kadar gaji yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bermula Disember tahun ini akan memberi kesan secara langsung kepada kadar inflasi serta peningkatan kos sara hidup.

Zaliha berkata, terdapat banyak faktor yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada kadar inflasi serta kos sara hidup antaranya peningkatan dalam kos pengeluaran, dasar kewangan, gangguan dalam rantaian bekalan, peningkatan permintaan dan cabaran-cabaran lain yang berada di luar kawalan.

Dalam hal ini katanya, kesan langsung penyelarasan gaji penjawat awam sudah tentu akan dapat meningkatkan kuasa beli dalam kalangan penjawat awam.

“Apabila penjawat awam berbelanja, urus niaga ini akan kembali menyumbang ke dalam kitaran ekonomi negara.

“Secara relatifnya, peningkatan inflasi adalah diperlukan bagi memastikan ekonomi terus berkembang. Walau bagaimanapun, kadar peningkatan inflasi tersebut hendaklah terkawal, supaya tidak berlaku ‘kejutan’ kepada kos sara hidup rakyat,” katanya.

Namun begitu jelasnya, bagi menghadapi sebarang kemungkinan kepada reaksi ekonomi tempatan apabila kenaikan gaji penjawat awam bermula pada Disember tahun ini, kerajaan akan memastikan ia tidak mendatangkan impak negatif lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas