Berita

Kerajaan usaha bawa pulang tujuh rakyat Malaysia ditahan di Filipina

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah di Depot Imigresen Tanah Merah pada Rabu. Foto: BERNAMA
- Diterbit 4 September 2024 3:44 PM MYT

KERAJAAN sedang berusaha membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan Filipina secara haram, Ahad lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan untuk membawa pulang mereka sedang berjalan dan diharap mencapai hasil positif dalam tempoh terdekat.

“Saya sudah diberi maklumat oleh Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos mengenai kejadian itu dan sekarang ini kita sedang berusaha untuk membawa balik rakyat Malaysia yang ditahan itu.

“Kita juga sedang mengenal pasti syarikat pelancongan yang menguruskan mereka untuk dihubungi kerana kes yang berlaku ini disebabkan bot yang membawa penumpang melepasi sempadan perairan Malaysia sebelum kesemuanya ditahan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Pada Ahad, pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu terdiri daripada tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China selepas disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.

“Apa yang boleh saya katakan trend ini meningkat dan kebanyakan negara yang dikesan adalah negara jiran Thailand dan Myanmar.

“Ada situasi juga yang pergi sendiri tanpa kena tipu oleh mana-mana sindiket, semata-mata untuk pergi berjudi… bila tidak boleh balik mereka minta bantuan kita (kerajaan) untuk bawa pulang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas