KERAJAAN terus menggembleng usaha memastikan persekitaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan komuniti perumahan yang lebih manusiawi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PPR telah dilaksanakan puluhan tahun untuk memanfaat rakyat yang berpendapatan rendah (B40).
“Sebanyak hampir RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyelenggara rumah strata kos rendah dan sederhana awam termasuk mengganti lif-lif usang.
“Selain itu, 48 buah Taman Awam MADANI dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta manakala Kampung Baru Cina diperuntukkan dengan RM84 juta bagi menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti di mana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata kerajaan akan membentuk sebuah rangka kerja pemerkasaan komuniti bagi memperkukuh peranan persatuan penduduk sebagai pemudah cara di peringkat komuniti. Persatuan penduduk diberi latihan kepimpinan sewajarnya oleh Yayasan Sime Darby, NGO dan agensi kerajaan berkaitan.
Jelasnya lagi usaha menangani isu malpemakanan dalam kalangan anak-anak di PPR Lembah Klang diperhebat melalui projek rintis yang turut dibiayai bersama Pertubuhan Kanak-kanak Sedunia dengan peruntukan RM5 juta.
“Aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs akan dipergiat dengan peruntukan RM5 juta.
“Selain itu, Program Anak Kita terus diperkasa dengan peruntukan RM30 juta sebagai ikhtiar bersepadu menangani isu keciciran 80 ribu anak-anak. Yayasan Hasanah juga menelusuri isu keciciran termasuk menarik minat anak-anak menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya. – WILAYAHKU