Berita

Kerajaan tumpu ekonomi perak hadapi negara menua

Kredit: AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 7 Jun 2024 9:10 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia menumpukan kepada ekonomi perak (silver economy) dalam menghadapi populasi lanjut usia yang semakin meningkat.

Menurut Perdana Menteri, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan membangunkan silver economy di Malaysia.

Justeru itu, katanya pembangunan teknologi negara juga akan mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan.

“Dalam menghadapi populasi warga tua yang semakin meningkat, kita perlu memberi keutamaan pelaburan dalam ekonomi perak.

“Ia adalah untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang seperti teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi membolehkan penuaan yang sihat dan aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2024, baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia juga mesti mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur kondusif kepada penuaan aktif.

Jelas beliau ketersediaan kepada peranti teknologi membantu meningkatkan kualiti gaya hidup dalam menjalani kehidupan persaraan yang lebih sihat.

“Dengan­ memperuntukkan sumber ke arah perkara itu, Malaysia boleh meletakkan­ dirinya untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai AS$15 trilion.

“Perkara ini didorong oleh keperluan dan keutamaan asas pengguna yang semakin tua. Pelaburan sedemikian bukan saja menjanjikan pulangan yang besar tetapi juga menggariskan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti kehidupan penduduk yang semakin tua sambil memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara.

“Pelaburan ini tidak hanya menjanjikan pulangan besar, bahkan sejajar komitmen Malaysia dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup populasi menua serta memupuk pertumbuhan ekonomi mampan kepada negara,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata menjelang 2060, Malaysia dijangka akan mempunyai tiga orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas berbanding 10 orang dewasa umur bekerja bagi setiap warga emas pada 2020.

“Walaupun peningkatan jangka hayat satu penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.

“Antara cabaran utama ialah perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri.

“Segmen yang semakin berkembang ini terdiri daripada hampir empat juta pekerja dan berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk jatuh ke dalam kemiskinan pada usia tua akibat daripada ketiadaan liputan program pencen dan persaraan rasmi,” katanya.

Oleh itu, menurut beliau, kerajaan membantu dan meningkatkan simpanan persaraan sektor tidak formal melalui program i-Saraan dengan menggalakkan caruman sukarela kepada KWSP.

“KWSP sedang meneroka inovasi yang boleh diaplikasi ke atas skim KWSP bagi memberikan perlindungan persaraan yang lebih baik kepada sektor tidak formal.

“Antaranya seperti penstrukturan semula akaun KWSP pada fasa pengumpulan simpanan yang membabitkan semua ahli bawah umur 55 tahun yang memberikan fleksibiliti kepada semua ahli.

“Pendekatan ini membolehkan mereka menyimpan untuk persaraan dan pada masa yang sama, mempunyai akses kepada simpanan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas