Berita

Kerajaan tidak kaut untung

- Diterbit 6 Januari 2025 4:50 PM MYT

TERDAPAT segelintir netizen yang bertindak melulu, menuduh kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mengaut keuntungan ke atas rakyat.

Isu ini jadi bualan apabila timbulnya salah faham dalam kalangan netizen yang mendakwa kerajaan mula mengenakan lesen berbayar kepada rakyat yang menggunakan media sosial.

Maka, mulalah mereka mendakwa kerajaan hanya pandai menindas rakyat sehingga semua perkara hendak dikenakan bayaran seolah-olah mahu membebankan rakyat.

Sebelum menyebarkan fitnah memburuk-burukkan kerajaan, rakyat perlu tahu hanya penyedia platform media sosial sahaja yang perlu mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing berikutan penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi bermula 1 Januari 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, turut memuji langkah Telegram dan Tencent (WeChat) yang telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia.

“Terima kasih kepada Tencent dan Telegram kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Saya harap platform lain akan ikuti langkah mereka kerana jika mereka (penyedia platform) ingin memberi perkhidmatan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi pelakon veteran, Sathia Periasamy atau Sathiya sempena sesi Ziarah MADANI@Finas di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, bagi netizen yang tahu lesen hanya dikenakan ke atas penyedia media sosial pula, mereka tetap mempertikaikan tindakan kerajaan itu.

Tahukah anda, kerajaan bertindak demikian tidak lain tidak bukan, semuanya demi keselamatan rakyat.

Buktinya, baru-baru ini MCMC menerusi sebuah kenyataan memaklumkan keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari itu bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

Ia dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.

Kegagalan mengemukakan permohonan boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia perkara yang mahu dielakkan semua pihak. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas