Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kerajaan tetap pertahankan kuota Bumiputera memasuki matrikulasi

- Diterbit 1 Julai 2024 12:12 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan tetap mempertahankan kuota bumiputera dalam melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi.

Berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini, beliau berkata ia merupakan prinsip itu adalah adil dan munasabah.

“Kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi.

“Kuota Bumiputera kita tetap dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama kerana berkait dengan perlembagaan, jaminan masa depan bumiputera Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Jelas Anwar kerajaan Madani mengambil langkah yang adil dan munasabah untuk membuka peluang kepada kaum selain Bumiputera yang memperolehi keputusan SPM yang cemerlang.

“Saudara minta orang (pelajar) sekolah Manek Urai (Kelantan) bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsar, Perak) atau (sekolah) Chung Ling (Pulau Pinang) dengan prasarana siap di bandar dan sekolah yang terbaik dan minta bersaing dengan sekolah menengah di Kapit (Sarawak), tentu itu bukan keadilan.

“Tiap kali kerana kita ada kuota bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti.

“Satu pihak lagi nak pertikai prinsip perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.

“Maka kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas