Berita

Kerajaan terus komited tangani isu membelenggu Labuan

majlis perasmian Karnival Wilayah Persekutuan Kita 2025 peringkat Labuan, hari ini.
- Diterbit 23 Februari 2025 5:23 PM MYT

KERAJAAN akan terus komited dalam menangani isu-isu asas yang membelenggu rakyat Labuan khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan pengangkutan (connectivity).

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, kerajaan sedar bahawa pembangunan Labuan perlu dilihat secara menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.

MAJLIS perasmian Karnival Wilayah Persekutuan Kita 2025 peringkat Labuan, hari ini.

Katanya, bukan sekadar dalam sektor pelancongan sahaja, tetapi juga ada keperluan lain yang perlu dipastikan.

“Kerajaan akan terus komited dalam menangani isu asas yang membelengu rakyat di Labuan khususnya dalam bekalan air, elektrik dan jaringan pengangkutan.

“Dalam aspek bekalan air, Kerajaan telah pun memperuntukkan sebanyak RM454.88 juta untuk pembaikan sistem bekalan air
sepanjang 106.7 kilometer, dan setakat ini, 37 kilometer atau 35 peratus daripadanya telah pun siap.

“Penambahbaikan ini telah membawa kesan yang positif, dengan aduan gangguan bekalan air berkurang sebanyak 46 peratus berbanding tahun 2023.

“Dari segi bekalan elektrik pula, dua projek ladang solar di Tanjung Kubong dan Kampung Bukit Kalam berkapasiti 15 megawatt telah pun siap sepenuhnya bagi menampung keperluan kapasiti bekalan elektrik dan kestabilan tenaga di Labuan,”katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Karnival Wilayah Persekutuan Kita 2025 peringkat Labuan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim.

Mengulas lanjut mengenai isu Jambatan Labuan- Menumbok, Zaliha menjelaskan cadangan pembinaan jambatan itu bakal menjadi game changer kepada Labuan.

Katanya, pada Belanjawan 2025, sejumlah RM3 juta telah pun diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk melaksanakan feasibility study terhadap kebolehlaksanaan jambatan tersebut.

“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Kerja Raya dan menegaskan bahawa kajian ini harus mengambil kira keperluan sebenar rakyat Labuan, bukan sekadar aspek teknikal semata-mata.

Tambah beliau, isu jaringan pengangkutan laut dan udara turut menjadi fokusnya dan JWP.

“Kita telah menerima penambahan kekerapan penerbangan dari syarikat AirAsia untuk perjalanan Kuala Lumpur- Labuan dan Labuan-Kuala Lumpur.

“Bagi jaringan pengangkutan laut pula, baru-baru ini saya telah umumkan bahawa feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu Labuan akan mula beroperasi pada masa terdekat.

“Esok saya dan kepimpinan JWP akan akan ke Kota Kinabalu dan bertemu mata dengan Datuk Seri Hajiji, Ketua Menteri Sabah dan berbincang tentang beberapa isu yang terkait Labuan, termasuklah isu terminal feri ekspres,”katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas