Berita

Kerajaan terbuka bincang peruntukan tambahan di Sabah

- Diterbit 9 Ogos 2024 5:00 PM MYT

KERAJAAN sedia dan terbuka untuk berbincang mengenai peruntukan tambahan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun menggesa isu peruntukan itu tidak dipolitikkan.

“Jangan politikkan pekrara itu. Kalau nak lagi, bincang secara elok.

“Kita boleh beri tetapi nak jadi champion,” katanya kepada media selepas menikmati makan tengah hari sambil beramah mesra dengan pelanggan dan peniaga di Medan Selera Tanglin, Kuala Lumpur.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang mendakwa kenyataan Anwar berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah adalah mengelirukan.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, peruntukan RM16 bilion kepada Sabah yang diumumkannya pada Pesta Kaamatan, 31 Mei lalu, adalah bagi pembangunan saja.

“Baca dengan teliti dan keseluruhannya lebih RM16 bilion, itu pun tak termasuk beberapa hal.

“Masa ada kuasa dulu kamu diam, ikut sahaja.

“Saya nak tanya masa dia berkuasa dia buat apa,” katanya.

Pada 31 Mei, ketika berucap menutup Pesta Kaamatan 2024 di Penampang, Anwar memaklumkan sejak menjadi perdana menteri, beliau sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan untuk Sabah bagi membantu rakyatnya, iaitu daripada RM12.9 bilion pada 2022 kepada RM16 bilion tahun ini.

Anwar berkata, tahun lepas pula kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan RM13.9 bilion kepada negeri itu, sekali gus membuktikan komitmennya hasil kerjasama erat dengan Hajiji, kerajaan negeri dan rakan kerajaan perpaduan lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas