Berita

Kerajaan telus teliti kadar upah penghantar p-hailing

ANWAR ketika sesi perjumpaan bersama 24 syarikat Pengendali Perkhidmatan Parcel Hailing (p-hailing).
- Diterbit 10 Ogos 2023 8:10 AM MYT

KERAJAAN Perpaduan ­sentiasa peka ­terhadap isu kebajikan ­pekerja ­parcel hailing (p-hailing) dan terus komited dalam usaha ­memelihara ­kesejahteraan golongan ­berkenaan di samping ­memastikan kemampanan pembangunan ­industri p-hailing selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat pengendali perkhidmatan ­p-hailing telah memberikan komitmen ­untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta ­meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak ­penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

“Penelitian lanjut ini ­penting dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan ­pengguna khususnya di kawasan ­luar ­bandar harus kekal ­diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan ­syarikat,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata komitmen itu disuarakan menerusi pertemuan dengan 24 syarikat ­pengendali perkhidmatan berkenaan yang ­juga dihadiri oleh lima orang ­wakil ­penghantar ­untuk menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas ­pihak syarikat di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Turut hadir dalam sesi tersebut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar ­serta pegawai kanan kementerian.

Pada 22 Julai lalu, Anwar ­menyatakan beliau akan memanggil semua syarikat pengendali ­p-hailing bagi memberikan penjelasan ­terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang.

Ia berikutan selepas salah seorang penghantar makanan menerusi Program Sesi Temu Anwar sempena Program Himpunan Rider Madani Selangor mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah sekali gus mengurangkan pendapatan mereka.

Setelah mendengar ­pandangan dan keluhan kedua-dua ­belah ­pihak, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan ­peningkatan kemahiran (upskilling) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Semasa pertemuan ­tersebut juga, Anwar tidak hanya ­menyampaikan keluhan ­penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran ­malah turut membincangkan ­beberapa perkara berkisar tentang ­pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta ­keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling).

Dalam masa yang sama, Anwar turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat ­pengendali di luar Lembah Klang yang ­tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.

Secara jelasnya, Anwar ­berkata ikhtiar ini membuktikan ­kerajaan peka dan mengambil ­berat akan kepentingan semua pihak ­dalam meningkatkan penjanaan ­pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas