Berita

Kerajaan telus, ambil tindakan ikut undang-undang

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 14 November 2023 5:45 AM MYT

KERAJAAN tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dan setiap tindakan yang dijalankan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata hanya 19 daripada 960 kes yang dibuka di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sejak 2010 hingga September tahun ini, telah dituduh.

“Ini menunjukkan kita benar-benar telus dan tidak sewenangnya mengambil tindakan kepada mana-mana pihak. Tindakan dibuat mengikut undang-undang dan ini menunjukkan kita bertanggungjawab,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai prosedur operasi standard untuk mengendalikan siasatan kes yang diklasifikasikan isu agama, raja dan kaum (3R).

Sementara itu, Shamsul berkata sebanyak 60 daripada 104 kes berkaitan 3R telah selesai manakala bakinya masih dalam proses siasatan dengan kes melibatkan institusi raja adalah sebanyak 47 kes, agama 30 kes dan kaum 27 kes.

Beliau berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menggubal akta khusus berkaitan isu 3R memandangkan perundangan sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal selia perkara itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas