Berita

Kerajaan teliti cadangan lanjutkan operasi NSRC 24 jam

Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2024 5:06 PM MYT

KERAJAAN sedang dalam perancangan dan penilaian berkaitan pengukuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) termasuk melanjutkan operasi pusat itu kepada 24 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, buat masa ini operasi NSRC adalah dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

Menurut beliau, cadangan pelanjutan tempoh masa itu juga akan mengambil kira trend semasa aktiviti penipuan termasuk jenis dan masa sesuatu penipuan dijalankan.

“Walau bagaimanapun, orang awam masih boleh membuat panggilan atau aduan kepada hotline bank masing-masing yang beroperasi 24 jam sekiranya mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai cadangan melanjutkan operasi NSRC sehingga 24 jam.

Jelasnya, orang awam juga boleh menggunakan mekanisma ‘kill switch’ yang disediakan oleh bank masing-masing melalui aplikasi mobile atau di laman sesawang untuk membekukan akaun mereka dengan segera sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

Selain itu katanya, gerak kerja juga sedang dibuat berhubung pewujudan perjawatan dan penempatan pegawai secara kekal di NSRC.

Katanya, ini termasuk sumber tenaga kerja petugas di NSRC yang bukan sahaja terhad di kalangan penjawat awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM), tetapi juga pegawai daripada institusi kewangan dan industri telekomunikasi.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sejak penubuhan NSRC iaitu pada Oktober 2022 sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 140,474 panggilan telah diterima yang merangkumi 69,619 panggilan melibatkan laporan kes-kes penipuan.

Setakat ini katanya, jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa yang melibatkan kes NSRC adalah sebanyak RM310.2 juta.

“Bagi memperkukuh keupayaan NSRC dalam proses penjejakan dan pembekuan dana, National Fraud Portal (NFP) telah ditubuhkan. Melalui NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh (end-to-end) bagi menguruskan laporan penipuan serta mengesah dan menjejak dana yang dicuri agar tindak balas pantas dapat diambil dalam kalangan institusi kewangan.

“Sejak NFP mula digunakan pada April sehingga September tahun ini, NFP telah berjaya mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk menjejaki dana sebanyak 75 peratus dan meningkatkan jumlah dana yang dibekukan sementara sebanyak 34 peratus berbanding purata bulanan sebelum pelaksanaan NFP,” katanya.

Menurut Azalina, pelaksanaan NFP juga disokong dengan prosedur pengendalian akaun keldai yang dibangunkan oleh industri kewangan yang bertujuan untuk menambah baik keupayaan industri untuk mengenal pasti akaun berkenaan.

“Setakat ini keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai telah meningkat sebanyak 37 peratus, berbanding purata bulanan sebelum pelaksanaan NFP,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas