KOPERASI dan usahawan perusahaan mikro, kecil sederhana (PMKS) di Labuan diseru merebut dan memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan bagi membantu mengembangkan perniagaan.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, kementeriannya melalui agensi sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan diberikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa agar semua lapisan masyarakat dapat dibantu.
Katanya, ini adalah penting bagi membangunkan usahawan PMKS dan koperasi di wilayah ini seiring pembangunan usahawan dan koperasi di seluruh negara.
“Inisiatif dan kemudahan yang disediakan termasuklah akses kewangan seperti pinjaman, geran bantuan dan beberapa dana yang telah diperuntukkan oleh agensi di bawah KUSKOP.
“Selain Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), agensi-agensi KUSKOP lain seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp, SME Bank, PERNAS termasuk Bank Rakyat dan Coop Bank Pertama turut menyediakan insentif dan dana pembiayaan yang terbuka kepada semua entiti perniagaan termasuklah koperasi,” katanya di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Mengulas lanjut, Ewon menjelaskan KUSKOP melalui SKM menyediakan dana sebanyak RM2.5 juta kepada ANGKASA tahun ini untuk pembangunan aktiviti perniagaan koperasi di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, RM2 juta adalah untuk membiayai Program Pembangunan Koperasi melalui ANGKASA dan selebihnya untuk Tabung Pendidikan ANGKASA,” katanya.
Jelasnya, selain dana untuk pembangunan koperasi, KUSKOP juga menyediakan dana khusus untuk koperasi yang terlibat dalam industri pelancongan iaitu Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) yang telahpun dilancarkan pada Mei lalu.
“Melalui program JEJAK, koperasi-koperasi akan dibantu dalam aspek promosi dan pemasaran produk mahupun perkhidmatan koperasi yang terlibat dalam industri ini seperti penjagaan kesihatan, hospitaliti dan seni kraf.
“Kita berharap Program JEJAK dapat membantu meningkatkan penglibatan koperasi dalam merancakkan lagi industri pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup, KUSKOP juga menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU).
“Melalui Program JMKU, orang ramai bukan sahaja berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah (20 hingga 30 peratus) daripada harga biasa tetapi membantu melonjakkan pendapatan koperasi yang bertindak sebagai operator jualan,” katanya.
Terdahulu, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 72 Program JMKU dilaksanakan dengan jumlah insentif yang diluluskan sebanyak RM1.82 juta dan jumlah jualan yang direkodkan sebanyak RM6.46 juta.
Pelaksanaan Program JKMU tersebut telah memberi manfaat kepada 212,050 orang pengguna melalui barangan keperluan asas yang dijual oleh 230 operator jualan yang dilantik oleh SKM. – WILAYAHKU