Berita

Kerajaan tak pernah sorok dokumen berkait Titah Adendum

- Diterbit 8 Januari 2025 9:22 PM MYT

KERAJAAN tidak pernah menyembunyikan dokumen yang dikaitkan dengan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Beliau yang merupakan Menteri Komunikasi berkata tidak pernah melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen berkenaan.

“Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok. Saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak ada menerima, melihat ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut dan saya percaya perkara ini.

“Oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diserah semula ke Mahkamah Tinggi maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.

Sehubungan itu panel memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah dan seperti yang Perdana Menteri ada jawab di Parlimen sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), pihaknya tertakluk kepada prinsip subjudis.

“Maka kita akur dan patuh dengan prinsip itu dan proses di mahkamah itu diteruskan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas