DAKWAAN Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan masih mengamalkan sentimen politik tebal dengan negeri pembangkang adalah tidak benar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata sebaliknya Sanusi yang banyak bermain politik berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat termasuk di negeri ditadbir pembangkang.
“Saya lihat yang banyak main politik Menteri Besar Kedah. Tak perlu main politik.
“Perdana Menteri banyak luangkan masa melawat untuk kenal pasti masalah seperti sewaktu beliau ke Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media minggu Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi.
Sementara itu, Fahmi menasihatkan Sanusi supaya mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau berkata Anwar dari awal menyatakan tidak perlu ada sentimen politik dalam isu menguruskan pembangunan termasuk negeri yang diurus tadbir oleh parti pembangkang.
“Kita cuma tegaskan aspek urus tadbir baik dan isu tatakelola baik perlu diketengahkan serta diutamakan,” katanya. – WILAYAHKU